Kisah Nabi Ibrahim A.S..| merupakan nabi dan rasul yang sangat penting dalam agama Islam, dan juga agama lain seperti Nasrani dan Yahudi. Baginda telah diberi gelaran Khalil Ullah iaitu “Sahabat Allah”. Selain itu beliau bersama anaknya Nabi Ismail a.s. terkenal sebagai pengasas Kaabah. Baginda juga merupakan salah seorang daripada lima orang nabi Ulul Azmi.

Gambar google

Ringkasan :

Sejarah awal : pemerintahan Raja Namrud yang kejam dan zalim

Raja Namrud (hidup sekitar tahun 2275 SM- 1943 SM) juga disebut eja Namrudz bin Kan’aan adalah salah satu seorang Raja yang memerintah Mesopotamia purba (kini dikenali negara Iraq). Nama lengkapnya adalah Namrudz bin Kan’aan bin Kush bin Ham bin Nuh.

Raja Namrud telah dianugerahi dengan daya intelek yang tinggi dan menjadi pakar dalam pelbagai bidang seperti seni reka, matematik dan ilmu falak. Beliau juga amat meminati ilmu sihir dan menggunakannya untuk mempengaruhi fikiran rakyatnya. 

Raja Namrud bermimpi kedatangan seorang bayi yang akan menentangnya

Pada satu malam Raja Namrud bermimpi melihat bintang yang terbit dari barat. Semakin tinggi ia naik, semakin terang bintang itu menyinar. Sehinggakan ia sampai ke zenith dimana ia menerangi seluruh alam semesta. Selepas terbangun Raja Namrud pun memanggil penasihatnya dan menceritakan mimpinya tersebut. Penasihat itu memberitahu beliau bahawa terdapat beberapa tafsiran bagi mimpinya itu.

Antara tafsirannya ialah:

  • akan lahir seorang insan dalam masa setahun.
  • insan itu akan dilahirkan di Faddam A’ram.
  • insan itu akan menjadi pemusnah batu berhala.
  • insan itu akan membuktikan kepalsuan Raja Namrud.
  • insan itu akan menyebarkan agama bahawa tuhan yang esa wujud dan darinya akan lahir zuriat-zuriat para nabi dan aulia.
  • Nabi terakhir dari zuriat ini akan membawa agama yang ibarat bintang di zenith iaitu menyinari seluruh alam semesta.
  • akibat insan ini Raja Namrud akan mati secara dasyat
Raja Namrud bertindak kejam dengan membunuh semua anak di Faddam A’ram

Menurut cerita yang lain, Namrud bermimpi melihat seorang kanak-kanak melompat dan masuk ke biliknya, kemudian merampas mahkota yang dipakainya, lalu menghancurkannya.

Sebaik mendengar berita ini beliau pun menjadi gelisah. Beliau sedar bahawa insan ini akan membawa kepada kejatuhannya. Dengan serta merta Raja Namrud menghantar bala tenteranya ke Faddam A’ram. Penduduk lelakinya telah dipisahkan dari isteri-isteri mereka. Wanita-wanita yang mengandung telah dibunuh.

Raja Namrud pun mengeluarkan perintah bahawa sesiapa yang melahirkan anak akan dibunuh bersama anaknya sekali. Selepas setahun beliau mendapat petanda bahawa insan itu akan dilahirkan. Beliau mengesyaki Azaar iaitu orang yang paling dipercayainya kerana Azaar pernah dibenarkan untuk memasuki bandar tersebut. Walaupun begitu Azaar menafikannya dan isterinya pula tidak menunjukkan tanda-tanda hamil. Namun, beliau tidak mempercayainya dan menugaskan seorang tentera untuk menjaga isteri Azaar. Setahun telah berlalu dan tentera Namrud telah dikeluarkan dari bandar Faddam A’ram.

Raja Namrud menjadi lega kerana menyangkakan bahawa beliau telah menggagalkan kelahiran insan yang akan menentangnya itu. Walaupun begitu insan itu telah dilahirkan disebuah gua berhampiran Faddam A’ram.

Kelahiran Nabi Ibrahim A.S yang dipelihara oleh Allah

Nabi Ibrahim ialah putera kepada Tarikh bin Nahor bin Sarug bin Raghu bin Faligh bin Aaabir bin Syalikh bin Arfakhsyad bin Sam bin Nuh A.S. Manakala Azar adalah bapa saudara Nabi Ibrahim, bukanlah bapa kandung baginda. Kalimah “Abi” didalam bahasa arab kadangkala membawa makna bapa kandung dan kadangkala juga membawa makna bapa saudara. Terdapat juga pendapat mengatakan Azar adalah bapa kepada Nabi Ibrahim, (Wallahualam)

Baginda dilahirkan di sebuah tempat bernama “Faddam A’ram” dalam Empayar Neo-Babylon yang pada waktu itu diperintah oleh seorang raja zalim bernama “Namrud bin Kan’aan.” Sebelum itu keadaan tempat kelahirannya berada dalam kucar-kacir. Hal ini adalah kerana Raja Namrud mendapat petanda bahawa seorang bayi akan dilahirkan dan akan membesar dan merampas takhtanya. Antara sifat insan yang akan menentangnya ialah dia akan membawa agama yang mempercayai satu tuhan dan menjadi pemusnah berhala. Insan ini juga akan menjadi penyebab Raja Namrud mati dengan dahsyat. Oleh itu, Raja Namrud mengarahkan semua bayi dibunuh, manakala lelaki dan wanita pula dipisahkan selama setahun.

Walaupun dalam keadaan cemas begini, kehendak Allah tetap terjadi. Isteri kepada Tarikh telah mengandung tanpa menunjukkan tanda-tanda kehamilan. Pada suatu hari, dia terasa tiba waktunya melahirkan anak dan sedar sekiranya diketahui Raja Namrud, pasti dia serta anaknya dibunuh. Dalam ketakutan, ibu Ibrahim melahirkan anaknya di dalam sebuah gua yang berhampiran.

Selepas itu, dia meninggalkannya bayinya keseorangan. Seminggu kemudian, dia bersama suaminya telah ke gua tersebut dan terkejut melihat Ibrahim a.s masih hidup. Selama seminggu, bayi itu menghisap celah jarinya yang mengandungi susu dan makanan lain yang berkhasiat. Semasa berusia 15 bulan tubuh Nabi Ibrahim telah membesar dengan cepatnya seperti kanak-kanak berusia dua tahun. Maka ibubapanya berani membawanya pulang ke rumah.

Ayah Nabi Ibrahim A.S seorang penjual patung berhala

Semasa remajanya Nabi Ibrahim sering disuruh ayahnyanya iaitu Azar keliling kota menjajakan patung-patung buatannya namun kerana iman dan tauhid yang telah diilhamkan oleh Tuhan kepadanya ia tidak bersemangat untuk menjajakan barang-barang itu bahkan secara mengejek ia menawarkan patung-patung ayahnya kepada calon pembeli dengan kata-kata:

“Siapakah yang akan membeli patung-patung yang tidak berguna ini?”

Nabi Ibrahim A.S berfikir logik dan tidak dapat menerima tuhan kaumnya

Pada masa Nabi Ibrahim, kebanyakan rakyat di Mesopotamia beragama politeisme iaitu menyembah lebih dari satu Tuhan. Dewa Bulan atau Sin merupakan salah satu berhala yang paling penting. Bintang, bulan dan matahari menjadi objek utama penyembahan dan kerananya, astronomi merupakan bidang yang sangat penting.

Sewaktu kecil lagi nabi Ibrahim a.s. sering melihat ayahnya membuat patung-patung tersebut, lalu dia cuba mencari kebenaran agama yang dianuti oleh ayahnya itu. Di dalam al-Quran Surah al-Anaam (ayat 75-81) menceritakan tentang pencariannya dengan kebenaran.

Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Ibrahim tanda-tanda keagungan (Kami yang terdapat) di langit dan bumi, dan (Kami memperlihatkannya) supaya dia termasuk orang-orang yang yakin (sepenuhnya). : al-An’am : 75

Maka ketika malam telah menjadi gelap, dia melihat sebuah bintang (lalu) dia berkata: “Inikah Tuhanku?” Kemudian apabila bintang itu terbenam (menghilang), dia berkata: “Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang” : al-An’am : 76

Maka apabila dia melihat bulan terbit, dia berkata: “Inikah Tuhanku?”. Kemudian setelah bulan itu terbenam, dia berkata: “Demi sesungguhnya jika Tuhanku tidak memberi petunjuk kepadaku, pastilah aku termasuk orang-orang yang sesat” : al-An’am : 77

Kemudian apabila dia melihat matahari terbit, dia berkata: “Inikah Tuhanku? yang ini lebih besar”. Maka apabila matahari itu terbenam, dia berkata: “Hai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu persekutukan.” : al-An’am : 78

Sesungguhnya aku menghadapkan diriku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap cenderung kepada agama yang lurus (benar), dan aku bukanlah termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan. : al-An’am : 79

Dan dia dibantah oleh kaumnya. Dia pun berkata: “Apakah kamu hendak membantahku tentang Allah, padahal sesungguhnya Dia telah memberi petunjuk kepadaku?. Dan aku tidak takut kepada (sebarang bahaya) sembahan-sembahan yang kamu persekutukan Allah dengannya, kecuali di kala Tuhanku menghendaki sesuatu (dari bahaya) itu. Dan pengetahuan Tuhanku meliputi segala sesuatu. Maka apakah kamu tidak dapat mengambil peringatan (pelajaran) daripadanya?”: al-An’am : 80

Dan bagaimana aku hendak takut kepada apa (sembahan-sembahan yang tidak dapat mendatangkan bahaya) yang kamu persekutukan (dengan Allah), padahal kamu tidak takut bahawa kamu telah mempersekutukan Allah dengannya, yang Allah sendiri tidak menurunkan keterangan (kuasa) kepadamu (untuk mempersekutukan-Nya). Maka yang manakah di antara dua golongan itu yang lebih patut (berhak) mendapat keamanan (dari bahaya), jika betul kamu mengetahui?”: al-An’am : 81

Inilah daya logik yang dianugerah kepada beliau dalam menolak agama penyembahan langit yang dipercayai kaumnya serta menerima tuhan yang sebenarnya.

Baca halaman seterusnya..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may also like