Ujian tanda Allah cintakan hambanya..|
Ujian tanda Allah cintakan hambanya..|
Allah menguji orang-orang yang beriman
Allah SWT telah menjelaskan di dalam al-Quran saat manusia bertanya akan ujian yang selalu mendatangi dirinya. Lalu Allah SWT berfirman yang bermaksud “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan. “Kami telah beriman” sedang mereka tidak diuji lagi?” (Surat Al-Ankabut, 2).
Apabila diuji ucapkanlah ‘daripada Allah kami datang, dan kepada Allahlah kami kembali’
Apapun bentuk ujian yang kita terima bukan persoalan yang besar untuk kita tanyakan. Tetapi bagaimana kita harus menghadapi ujian itu adalah pokok persoalannya. Supaya kita tidak menjadi orang yang kufur terhadap segala pemberianNya kepada kita. Sebagai seorang mukmin, setiap ujian yang terjadi kepada kita ucapkanlah dengan ‘innalillahi wa inna illahi rojiun’. Yang bermaksud “kami ini milik Allah, kepadaNya kami akan dikembalikan.”
Pelbagai ujian yang menyakitkan inilah yang sangat banyak menuntut kita bukan hanya untuk bersabar berdepan dengan ujian itu. Tetapi mendidik hati untuk lebih terbuka melihat setiap ujian ke atas diri kita. Kerana apa yang lebih benar, setiap ujian itu adalah tanda kasih sayang Allah terhadap setiap hamba. Dan Allah menurunkan ujianNya untuk melatih kita lebih tabah dalam melalui kehidupan ini sebagaimana firman Allah SWT
Kecil atau berat ujian itu bukan bergantung seberapa besar ujian berkenaan tetapi seberapa luas kita melihat ujian tersebut. Masalah, ujian dan dugaan adalah satu perspektif yang kita perlu melihatnya dari sudut yang lebih positif. Supaya kita berjaya dalam mencari jalan terbaik untuk menyelesaikannya.
Ini kerana ada orang menerima ujian dengan hati yang tabah, ada orang melihat ujian yang sama dengan pandangan yang kecil. Lalu gagal untuk mengawal perasaan dan mengambil tindakan yang tidak sewajarnya. Kegagalan kita mengawal emosi dalam berdepan ujian inilah yang akan merugikan diri sendiri. Dan mungkin juga akan menyakiti orang lain juga.
Berlapang dada dalam menerima ujian Allah
Perumpamaan ujian dalam hidup ini boleh diibaratkan seperti sesenduk garam yang dicurahkan ke dalam segelas air, dan sesenduk garam itu juga dicurahkan ke dalam sebaldi air. Air yang di dalam gelas tentu lebih masin berbanding air yang di dalam baldi tadi. Sama juga ujian bagi seseorang manusia seperti sesenduk garam yang kalau diterima dengan hati yang sempit maka ujian itu menjadi berat, tetapi kalau diterima dengan hati yang lapang dan luas, maka ujian itu menjadi ringan. Oleh itu, luas dan lapangkan hati supaya ujian yang dilalui itu menjadi kecil bagi kita.
Mengecilkan masalah tidak akan menyelesaikan masalah atau ujian berkenaan, tetapi kita harus meluaskan hati dan membesarkan minda supaya masalah yang kita lalui itu dapat ditangani dengan satu penyelesaian yang bijak. Ini kerana orang yang berjiwa besar tidak akan sama sekali terjejas dengan ujian-ujian yang dianggap sebagai satu garam sahaja dalam kehidupan. Malah ujian yang jatuh pada hati yang lapang dan kuat tidak mudah terasa sakit atau goyah.
Bagi manusia yang jiwanya lapang, kuat dan utuh akan menganggap ujian seperti hasad dengki, fitnah dan caci maki orang terhadapnya atau suami berkahwin lain sebagai satu dugaan kecil kepadanya, malah langsung tidak menjejaskan akhlaknya dalam mendepani cubaan sebegitu. Hati mereka ini tetap lapang dan selalu mengembalikan setiap ujian itu sebagai tarbiah Allah buat dirinya.
Malahan setiap ujian yang menimpa dirinya diterima dengan dada yang terbuka dan mempunyai kepercayaan yang teguh bahawa setiap sesuatu ujian itu mengandungi hikmah yang tersembunyi. Bagi mereka yang mempunyai kekuatan dalaman dan keimanan yang tinggi terhadap qada dan qadar Allah swt tidak akan pernah tewas dengan ujian sebaliknya dugaan itu dijadikan sebagai jalan untuk mendekatkan dirinya dengan Allah SWT.
Sentiasa yakin denga Allah
Namun, kita tidak akan mampu menjadi orang yang lapang hati jika kita tidak mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap Allah. Keyakinan ini berhubung dengan kekuatan akidah dalam diri kita sendiri. Bagi menguatkan akidah dan keyakinan terhadap kekuasaan Allah kita hendaklah selalu persiapkan diri dengan mendekati segala suruhannya dan menjauhi segala larangan dan maksiat yang akan menjauhkan diri kita denganNya.
Kita juga tidak akan mendapat kekuatan dalaman sekiranya tidak memiliki hati yang bersih. Mulut dan percakapan yang kotor akan mengotorkan hati kita, fikiran yang kotor akan mengotorkan hati kita, menjejaki tempat yang maksiat akan mengotorkan hati kita. Justeru, selalulah membasuh hati dengan zikrullah dan menjauhi perkara-perkara yang boleh membawa kerosakan kepada hati kita.
Ujian untuk membersihkan kotoran pada hati
Begitu juga setiap ujian sebenarnya adalah untuk melihat siapakah diri kita. Bagaimana kita bertindak terhadap ujian, itulah diri kita. Ada orang tidak dapat mengawal emosi dan perasaan ketika berdepan ujian, ada orang sabar dan tabah ketika sedang diuji, ada orang lebih mendekatkan dirinya kepada Allah dan apapun bentuk reaksi kita kepada masalah, itulah diri kita yang sebenar, walaupun barangkali kita selalu berkeadaan baik ketika menjalani kehidupan ini.
Ujian tanda Allah cintakan hambanya..|
Dengan ujian juga, sebenarnya Allah mahu membersihkan kekotoran pada hati kita. Ujian itu menghapuskan dosa dan kesalahan terhadap Allah seperti air yang membersihkan kotoran pada badan kita. Nabi Isa pernah berkata, “belum dikatakan seorang itu kenal Allah, sebelum dia bergembira dengan musibah dan penyakit ke atas dirinya, kerana berharap supaya dihapuskan kesalahannya.”
Ujian atau musibah itu juga adalah satu bentuk Allah mengenalkan diriNya kepada hambaNya. Bila kita tidak redha dengan ujian, bererti kita belum benar-benar mengenali kekuasaan Allah dan sebab itulah Allah mahu mengampunkan dosa-dosa kita dengan cara memberikan ujian mengikut kemampuan hambanya sebagaimana firman Allah yang bermaksud “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya”(Surah Al-Baqarah ayat 286).
Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa yang dikehendaki Allah pada orang itu kebaikan, maka Allah akan mencubanya dengan ujianNya.” Justeru, lapangkanlah hati, kuatkan jiwa dan luaskan perasaan saat kita menerima apa juga ujian Allah kerana setiap ujianNya tidak diberi secara sia-sia melainkan ada hikmah yang tersembunyi. Sesungguhnya segala yang terjadi kepada kita pahit ketika berlaku tetapi manis bila dikenang.
Repost sumber : ikimfm
Baca juga : Taubat Seorang Pendosa – ampunkan aku Ya Allah