Kisah Nabi Yaakub A.S : merupakan salah seorang dari 25 orang Rasul yang wajib diketahui seperti mana yang tercatat dalam al-Qur’an untuk memimpin umat manusia ke jalan yang benar. Nabi Yaakub telah dilahirkan di Kan’an, kemudian baginda telah berhijrah ke Faddam A’ram di Iraq, sebelum sekembalinya semula ke Palestin.
Ringkasan tajuk :
- Biodata Nabi Yaakub A.S
- Perasaan cemburu dan dengki saudara kembar Nabi Yaakub
- Nabi Yaakub meminta buah nasihat daripada ayahnya mengenai situasi tegang dengan kembarnya
- Nabi Yaakub mengikuti nasihat ayahnya dan berhijrah ke negeri Faddam
- Mimpi Nabi Yaakub ketika dalam perjalanan ke negeri Faddam
- Nabi Yaakub terserempak dengan anak perempuan Laban sebelum menjumpai rumah Laban
- Nabi Yaakub menyampaikan pesan bapanya supaya mengahwinkan beliau dengan saudaranya itu
- Selepas 7 tahun, Nabi Yaakub menyatakan hasratnya untuk mengahwini Rahil
- Nabi Yaakub mempunyai 12 anak dari 2 isteri dan 2 hambanya
Biodata Nabi Yaakub A.S
Nama panjang Nabi Yaakub ialah Yaakub bin Nabi Ishak bin Ibrahim a.s bin Azar bin Sam bin Nuh. Ibunya bernama Rifqah binti Batueil bin Nahur bin Azar (Tarah).
Beliau dilahirkan di Kan’an (Palestin), iaitu lebih kurang 30 batu ke utara Jerusalem. Beliau bekerja sebagai petani dan penternak. Nabi Yaakub mempunyai saudara kembar bernama Ishu.
Perasaan cemburu dan dengki saudara kembar Nabi Yaakub
Ya’kub dan Ishu merupakan saudara kembar yang langsung tiada perdamaian dan kasih sayang. Bahkan Ishu mendendam dengki dan iri hati terhadap Ya’qub saudara kembarnya yang memang dimanjakan dan lebih disayangi serta dicintai oleh ibunya.
Hubungan mereka yang renggang dan tidak akrab itu makin buruk dan tegang setelah diketahui oleh Ishu bahwa Ya’qublah yang diajukan oleh ibunya ketika ayahnya minta kedatangan anak-anaknya untuk diberkati dan didoakan, sedangkan dia tidak diberitahu dan karenanya tidak mendapat kesempatan seperti Ya’qub memperoleh berkat dan doa ayahnya, Nabi Ishaq.
Nabi Yaakub meminta buah nasihat daripada ayahnya mengenai situasi tegang dengan kembarnya
Melihat sikap saudaranya yang bersikap kaku, dingin dan suka mentindir, Maka, datanglah Ya’qub kepada ayahnya mengadukan sikap saudaranya itu.
Ya’akub berkata :
“Wahai ayahku! Tolonglah berikan fikiran kepadaku, bagaimana harus aku menghadapi saudaraku Ishu yang membenciku mendendam dengki kepadaku dan selalu menyindirku dengan kata-kata yang menyakitkan hatiku. Sehinggakan hubungan persaudaraan kami berdua renggang dan tegang, tiada kasih sayang. Dia marah kerana ayah memberkati dan mendoakan aku agar aku memperolehi keturunan soleh, rezeki yang mudah dan kehidupan yang makmur serta kemewahan . Dia menyombongkan diri dengan kedua orang isterinya dari suku Kan’aan dan mengancam bahawa anak-anaknya dari kedua isteri itu akan menjadi saingan berat bagi anak-anakku kelak. Dan macam-macam ancaman lain yang mencemas dan menyesakkan hatiku.”
Berkata Nabi Ishaq yang memang sudah merasa kesal hati melihat hubungan kedua puteranya yang semakin hari semakin merenggang :
” Wahai anakku, kerana umurku yang sudah lanjut aku tidak dapat menengahi kamu berdua. Ubanku sudah menutupi seluruh kepalaku, badanku sudah membongkok, raut mukaku sudah berkerut. Aku sudah berada di ambang pintu perpisahan dari kamu dan meninggalkan dunia yang fana ini. Aku khuatir bila aku sudah menutup usia, gangguan saudaramu Ishu kepadamu akan semakin meningkat dan ia secara terbuka akan memusuhimu, berusaha mencari kecelakaan mu dan kebinasaanmu. Ia dalam usahanya memusuhimu akan mendapat sokongan dan pertolongan dan saudara-saudara iparnya yang berpengaruh dan berwibawa di negeri ini.
Maka jalan yang terbaik bagimu, menurut fikiranku, engkau harus pergi meninggalkan negeri ini dan berhijrahlah ke Faddam A’ram di daerah Iraq, di mana bapa saudaramu iaitu saudara ibumu, Laban bin Batuil. Engkau dapat mengharap dikahwinkan kepada salah seorang puterinya.
Oleh yang demikian , menjadi kuatlah kedudukan sosialmu, agar disegani dan dihormati orang kerana kedudukan mertuamu yang menonjol di mata masyarkat. Pergilah engkau ke sana dengan iringan doa daripadaku. Semoga Allah memberkati perjalananmu, memberi rezeki murah dan mudah serta kehidupan yang tenang dan tenteram.”
Nabi Yaakub mengikuti nasihat ayahnya dan berhijrah ke negeri Faddam
Ya’kub yang mendengarkan nasihat ayahnya dengan hati terbuka lalu segera berkemas-kemas dan membungkus barang-barang yang diperlukan. Dengan iringan air mata, Nabi Ya’kub lalu meminta izin daripada ibu dan ayahnya untuk keluar dari rumah tersebut.
Dengan melalui padang pasir dan gurun yang terbentang luas dengan panas mataharinya yang terik dan angin panas yang membakar kulit, Ya’qub meneruskan perjalanan seorang diri, menuju ke Faddam A’ram dimana bapa saudaranya, Laban tinggal. Dalam perjalanan yang jauh itu , ia sesekali berhenti beristirahat bila merasa letih dan lesu.
Dan dalam salah satu tempat perhentiannya ia berhenti kerana sudah sangat letih, lalu tertidurlah Ya’akub dibawah teduhan sebuah batu karang yang besar.
Mimpi Nabi Yaakub ketika dalam perjalanan ke negeri Faddam
Dalam tidurnya yang nyenyak, ia mendapat mimpi bahawa akan dikurniakan rezeki yang luas, penghidupan yang aman damai, keluarga dan anak cucu yang soleh dan bakti serta kerajaan yang besar dan makmur.
Terbangunlah Ya’akub dari tidurnya, mengusapkan matanya menoleh ke kanan dan ke kiri dan sedarlah ia bahawa apa yang dilihatnya hanyalah sebuah mimpi namun ia percaya bahawa mimpinya itu akan menjadi kenyataan di kemudian hari sesuai dengan doa ayahnya yang masih tetap berdengung di telinganya.
Dengan diperoleh mimpi itu ,ia merasa segala letih yang ditimbulkan oleh perjalanannya menjadi hilang seolah-olah ia memperolehi tenaga baru dan bertambahlah semangatnya untuk secepat mungkin tiba di tempat yang dituju dan menemui sanak-saudaranya dari pihak ibunya.
Nabi Yaakub terserempak dengan anak perempuan Laban sebelum menjumpai rumah Laban
Tiba pada akhirnya, Ya’akub di depan pintu gerbang kota Faddam A’ram. Setelah berhari-hari siang dan malam menempuh perjalanan yang membosankan tiada yang dilihat selain dari langit di atas dan pasir di bawah. Alangkah lega hatinya ketika ia mulai melihat binatang-binatang peliharaan berkeliaran di atas ladang-ladang rumput ,burung-burung berterbangan di udara yang cerah dan para penduduk kota berhilir mundir mencari nafkah dan keperluan hidup masing-masing.
Sesampainya disalah satu persimpangan jalan, dia berhenti sebentar bertanya salah seorang penduduk di mana letaknya rumah saudara ibunya Laban berada.
Laban merupakan seorang kenamaan yang kaya-raya pemilik dari suatu perusahaan perternakan yang terbesar di kota itu. Penduduk yang ditanyanya itu segera menunjuk ke arah seorang gadis cantik yang sedang menggembala kambing seraya berkata kepada Ya’akub :
“Kebetulan sekali, itulah dia anak perempuan Laban, Rahil, yang akan dapat membawa kamu ke rumah ayahnya”.
Dengan hati yang berdebar, pergilah Ya’akub menghampiri seorang gadis ayu dan cantik itu, lalu dengan suara yang terputus-putus seakan-akan ada sesuatu yang mengikat lidahnya, Ya’akub mengenalkan diri dan memberitakan tujuannya datang ke Fadam A’raam dari Kan’aan.
Mendengar kata-kata Ya’akub yang bertujuan hendak menemui ayahnya, Laban, dan untuk menyampaikan pesanan(Ishaq). Maka, dengan senang hati, Rahil (anak gadis Laban) mempersilakan Ya’akub mengikutinya balik ke rumah untuk menemui ayahnya, Laban, iaitu bapa saudara Ya’kub.
Pertemuan Nabi Ya’kub dan bapa saudaranya membuah emosi. Lalu Laban melayani Ya’kub seperti anaknya sendiri. Nabi Ya’kub menjadi selesa sepanjang penetapannya dirumah itu
Nabi Yaakub menyampaikan pesan bapanya supaya mengahwinkan beliau dengan saudaranya itu
Setelah selang beberapa waktu tinggal di rumah Laban , Ya’akub lalu menyampaikan pesanan ayahnya, iaitu dengan mengahwinkannya kepada salah seorang dari puteri-puterinya. Pesanan tersebut di terima oleh Laban, dia bersetuju akan mengahwinkan Ya’akub dengan salah seorang puterinya.
Sebagai mas kahwin, Ya’akub harus memberikan tenaga kerjanya di dalam perusahaan penternakan bakal mentuanya selama tujuh tahun. Ya’akub setuju dengan syarat-syarat yang dikemukakan oleh Laban. Bekerjalah Ya’akub sebagai seorang pengurus perusahaan penternakan terbesar di kota Fadan A’raam itu.
Selepas 7 tahun, Nabi Yaakub menyatakan hasratnya untuk mengahwini Rahil
Tujuh tahun telah dilalui oleh Ya’qub sebagai pekerja dalam perusahaan penternakan Laban. Ya’akub menagih janji bapa saudaranya, untuk dijadikan sebagai anak menantunya. Laban menawarkan kepada Ya’akub, agar menyunting puterinya yang bernama Laiya sebagai isteri.
Tetapi Ya’kub berhendakkan Rahil adik Laiya, kerana Rahil lebih cantik dan lebih ayu dari Laiya. Ya’akub menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan Rahil, bukan Laiya.
Laban mengerti keinginan Nabi Ya’kub, namun hasrat itu ditolak kerana mengikut adat mereka, kakak harus dikahwinkan dahulu dari adiknya. Laban yang tidak mahu mengecewakan hati Ya’akub lalu menyuarakan syarat iaitu mengahwini Laiya sebelum dapat dapat memiliki Rahil.
Ya’akub sangat menghormati bapa saudaranya dan merasa berhutang budi kepadanya yang telah menerimanya di rumah sebagai keluarga sendiri. Lalu, Ya’akub tidak dapat berbuat apa-apa selain menerima cadangan bapa saudaranya itu . Perkahwinan dengan Laiya dilaksanakan, dan perjanjian untuk mengahwini Rahil juga diteruskan.
Begitu masa tujuh tahun kedua berakhir dikahwinkanlah Ya’qub dengan Rahil gadis yang sangat dicintainya dan selalu dikenang sejak pertemuan pertamanya tatkala ia masuk kota Faddam A’raam. Dengan demikian Nabi Ya’qub beristerikan dua wanita bersaudara, kakak dan adik, hal mana menurut syariat dan peraturan yang berlaku pada waktu tidak terlarang. Akan tetapi, syariat ini diharamkan oleh Muhammad S.A.W.
Nabi Yaakub mempunyai 12 anak dari 2 isteri dan 2 hambanya
Laban memberi hadiah seorang hamba sahaya untuk menjadi pembantu rumahtangga kepada setiap satu anak perempuannya, Laiya dan Rahil.
Setelah itu, Nabi Yaakub berkahwin dengan hamba sahaya, iaitu Zulfah dan Balhah. Beliau dikurniakan 12 orang anak. Melalui Layya, lahirnya Rabin, Syam’un, Lawi, Yahuza, Yakasir dan Zebulon, manakala Rahil melahirkan Nabi Yusuf dan Bunyamin. Perkahwinannya dengan Zulfah melahirkan Jaad dan Asyir. Manakala melalui isterinya Balhah, melahirkan Daan dan Nafrali.
Nabi Yaakub a.s wafat ketika berusia 147 tahun di Mesir. Disebabkan usianya makin meningkat dan uzur, beliau menyerahkan tugasnya kepada puteranya iaitu Nabi Yusuf. Nabi Yusuf mewarisi peranan ayahnya sebagai pembesar mesir.
Baca juga :
- Senarai Kisah 25 Nabi pilihan Allah
- Kisah Nabi Ishaq : Lahir saat ibunya berusia 90 tahun
- Kisah Nabi Ismail : ditinggalkan di padang pasir bersama ibunya
Repost dan rujukan : wiki, watawasaubilhaq, sirahnabinabi, akumuslim, Kisah Nabi Yaakub, Kisah Nabi Yaakub, Kisah Nabi Yaakub