Kisah Nabi Ibrahim : diizin Allah melihat keesaan Allah yang dapat menghidupkan semula selepas kematian

Nabi Ibrahim yang sudah berketetapan hati hendak memerangi syirik kaumnya tetapi ingin terlebih dahulu mempertebalkan iman dan keyakinannya serta membersihkannya dari keraguan dengan memohon kepada Allah agar diperlihatkan kepadanya bagaimana Dia menghidupkan kembali makhluk-makhluk yang sudah mati. (Surah al-Baqarah : 260)

Berserulah ia kepada Allah: 

“Ya Tuhanku! Tunjukkanlah kepadaku bagaimana engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang sudah mati.” 

Allah menjawab seruannya dengan berfirman: 

Tidakkah engkau beriman dan percaya kepada kekuasaan-Ku?.” 

Nabi Ibrahim menjawab:

“Betul, wahai Tuhanku, aku telah beriman dan percaya kepada-Mu dan kepada kekuasaan-Mu, namun aku ingin sekali melihat itu dengan mata kepala ku sendiri, agar aku mendapat ketenteraman dan ketenangan dan hatiku dan agar makin menjadi tebal dan kukuh keyakinanku kepada-Mu dan kepada kekuasaan-Mu.”

Allah memperkenankan permohonan Nabi Ibrahim lalu diperintahkanlah menangkap empat ekor burung, memotong-motongnya dan mencampur-baurkan tubuh burung yang hancur luluh lalu diletakkan di atas puncak setiap bukit dari empat bukit yang saling berjauhan. Setelah itu, diperintahnyalah Nabi Ibrahim memanggil burung-burung tersebut.

Dengan izin Allah dan kuasa-Nya, datanglah berterbangan empat ekor burung itu dalam keadaan utuh bernyawa seperti sedia kala mendengar panggilan Nabi Ibrahim kepadanya lalu hinggaplah empat burung itu di depannya, dilihat dengan mata kepalanya sendiri bagaimana Allah Yang Maha Berkuasa dapat menghidupkan kembali makhluk-Nya yang sudah mati sebagaimana Dia menciptakannya dari sesuatu yang tidak ada. Dan dengan demikian hilang keraguannya.

Dakwah pertama Nabi Ibrahim kepada bapanya, Aazar (pembuat berhala)

Azar, bapa saudara Nabi Ibrahim tidak terkecuali bertuhan dan menyembah berhala. Nabi Ibrahim menasihati ayahnya tentang penyembahan yang dilakukannya terhadap berhala-berhala, mengingkari sekaligus melarangnya melakukan hal tersebut. Namun ayahnya tidak juga berhenti dari perbuatan tersebut.

Dan (ingatlah) di waktu Ibrahim berkata kepada ayahnya, Aazar, ‘Pantaskah kamu menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihat kamu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata.” Al Quran, Surah Al - An'am, Ayat 74

Maka Ibrahim memohonkan ampunan bagi ayahnya sepanjang hidupnya, dan ketika ayahnya mati dalam keadaan musyrik dan yang demikian itu diketahui Ibrahim secara jelas, maka ia menghentikan permohonan ampunan bagi ayahnya tersebut serta melepaskan diri darinya. Sebagaimana yang difirmankan-Nya yang artinya:

“Dan permintaan ampun dari Ibrahim (kepada Allah) untuk ayahnya tidak lain hanyalah kerana suatu janji yang telah diikrarkannya kepada ayahnya itu. Maka, tatkala jelas bagi Ibrahim bahwa ayahnya itu adalah musuh Allah, Maka Ibrahim berlepas diri dari padanya. Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang yang sangat lembut hatinya lagi Penyantun.” – Al Quran, Surah At – Taubah, Ayat 114

Didalam Surah Maryam ayat 45-48, perbualan diantara Ibrahim dan ayahnya supaya meninggalkan berhala dan menyembah hanya pada yang Esa :

[19:45] “Wahai bapaku, sesungguhnya aku bimbang bahawa kamu akan ditimpa azab dari Tuhan Yang Maha Pemurah (disebabkan kamu menyembah yang lainnya), maka akan jadilah kamu kawan bagi setan”.

[19:46] Berkata bapanya: “Adakah patut kamu bencikan tuhan-tuhanku, hai Ibrahim? Demi sesungguhnya, jika kamu tidak berhenti, maka niscaya kamu akan ku rejam, dan (lebih baik engkau) tinggalkanlah aku buat waktu yang lama”.

[19:47] Ibrahim berkata (kepada ayahnya): “Salam sejahtera keatasmu, ayahku; Sesungguhnya aku akan memohon kepada Tuhanku keampunan atas dosamu; Sesungguhnya Tuhanku sangat baik kepadaku”.

[19:48] “Dan aku akan menjauhkan diri meninggalkan kamu dan dari apa yang kamu seru selain Allah; dan aku akan berdoa (beribadat) kepada Tuhanku. Mudah-mudahan aku tidak akan kecewa dengan berdoa kepada Tuhanku”.

Nabi Ibrahim menentang Raja Namrud dengan menghancurkan patung-patung berhala

Kegagalan Nabi Ibrahim menyedarkan ayahnya tidak sedikit pun mempengaruhi ketetapan hatinya dan melemahkan semangatnya untuk berjalan terus memberi penerangan kepada kaumnya. Nabi Ibrahim tidak henti-henti mengajak kaumnya berdialog tentang kepercayaan mereka dan mereka sudah tidak berdaya menyanggah alasan-alasan yang dikemukakan Nabi Ibrahim tentang kebenaran ajarannya dan kebatilan kepercayaan mereka. Tetapi mereka tetap berpegang kepada alasan yang mereka hanya meneruskan apa yang nenek moyang mereka lakukan sejak turun-temurun dan sesekali tidak akan melepaskan kepercayaan yang mereka warisi.

Nabi Ibrahim akhirnya berasa tidak bermanfaat lagi untuk berdebat dengan kaumnya yang keras kepala dan tidak mahu menerima keterangan yang dikemukakan oleh beliau. Nabi Ibrahim kemudian merancang akan membuktikan kepada kaumnya dengan perbuatan yang dapat dilihat dengan mata kepala mereka sendiri bahawa berhala-berhala betul-betul tidak berguna bagi mereka.

Sudah menjadi tradisi dan kebiasaan penduduk kerajaan Babylon bahawa setiap tahun mereka keluar kota beramai-ramai pada suatu hari keraian dan kebesaran yang mereka anggap sebagai keramat. Berhari-hari mereka tinggal di luar kota di suatu padang terbuka, berkhemah dengan membawa bekalan makanan dan minuman yang cukup. Mereka bersuka ria dan bersenang-senang sambil meninggalkan kota-kota mereka kosong dan sunyi. Mereka berseru dan mengajak semua penduduk agar keluar meninggalkan rumah dan turut beramai-ramai menghormati hari-hari suci itu.

Nabi Ibrahim yang juga turut diajak berpura-pura sakit dan diizinkanlah tinggal di rumah kerana khuatir penyakit Nabi Ibrahim yang dibuat-buat itu akan menular di kalangan mereka.

Apabila sampai masa yang sesuai, dengan membawa sebuah kapak ditangannya, Nabi Ibrahim menuju tempat beribadatan yang sudah ditinggalkan tanpa penjaga. Kemudian dihancurkan patung-patung itu dengan kapak yang berada di tangannya. Patung yang besar ditinggalkannya utuh, tidak diganggu yang pada lehernya dikalungkanlah kapak Nabi Ibrahim itu.

Terperanjat para penduduk, tatkala pulang dari berpesta ria di luar kota dan melihat keadaan patung tuhan-tuhan mereka hancur berselerakan di atas lantai. Mereka mengesyaki Nabi Ibrahim kerana jelas beliaulah satu-satunya orang yang tinggal sewaktu semua berada di luar.

Nabi Ibrahim pula berharap agar pengadilannya dilakukan secara terbuka untuk semua warga masyarakat dapat turut menyaksikannya kerana dengan cara demikian, beliau dapat secara berdakwah menyerang kepercayaan mereka yang sesat itu, seraya menerangkan kebenaran agamanya, kalau diantara yang hadir ada yang masih boleh diharapkan terbuka hatinya bagi iman dari tauhid yang ia ajarkan dan dakwahkan.

Hari pengadilan ditentukan dan datang rakyat dari segala pelosok berduyun-duyun mengunjungi padang terbuka yang disediakan bagi sidang pengadilan itu.

Ketika Nabi Ibrahim datang menghadap Raja Namrud yang akan mengadili ia disambut oleh para hadirin dengan teriakan kutukan dan cercaan, ditanya Nabi Ibrahim oleh Raja Namrud:

“Apakah engkau yang melakukan penghancuran dan merosakkan tuhan-tuhan kami?” 

Didalam surah al-Anbiya ayat 57-67 ada menceritakan tentang perancangan Nabi Ibrahim untuk memberi bukti yang nyata kepada kaumnya .

“Dan demi Allah, aku akan jalankan rancangan terhadap berhala-berhala kamu, sesudah kamu pergi meninggalkan (rumah berhala ini)”.(Al-Anbiyaa’ 21:57)

Lalu ia memecahkan semuanya berketul-ketul, kecuali sebuah berhala mereka yang besar (dibiarkannya), supaya mereka kembali kepadanya.” (Al-Anbiyaa’ 21:58)

“(Setelah melihat kejadian itu) mereka bertanya: “Siapakah yang melakukan perbuatan yang demikian terhadap tuhan-tuhan kami? Sesungguhnya adalah ia dari orang-orang yang zalim”.(Al-Anbiyaa’ 21:59)

“(Setengah dari) mereka berkata: “Kami ada mendengar seorang anak muda bernama Ibrahim, mencacinya”. (Al-Anbiyaa’ 21:60)

“(Ketua-ketua) mereka berkata: “Jika demikian, bawalah dia di hadapan orang ramai supaya mereka menyaksikan (tindakan mengenainya).” (Al-Anbiyaa’ 21:61)

(Setelah ia dibawa ke situ) mereka bertanya: “Engkaukah yang melakukan demikian kepada tuhan-tuhan kami, hai Ibrahim?” (Al-Anbiyaa’ 21:62)

Dengan tenang dan sikap dingin, Nabi Ibrahim menjawab menyalahkan satu berhala besar yang sengaja dia tinggalkan tadi:

Ia menjawab: “(Tidak) bahkan yang melakukannya ialah (berhala) yang besar di antara mereka ini! Maka bertanyalah kamu kepada mereka kalau-kalau mereka dapat berkata-kata”.(Al-Anbiyaa’ 21:63)

Mereka semua pun terdiam sejenak. Kemudian beliau berkata:

“Maka mereka (penyembah berhala) kembali kepada diri mereka (memikirkan hal itu) lalu berkata (sesama sendiri): “Sesungguhnya kamulah sendiri orang-orang yang zalim”. Kemudian mereka terbalik fikirannya kepada kesesatan, lalu berkata: “Sesungguhnya engkau (hai Ibrahim), telah sedia mengetahui bahawa berhala-berhala itu tidak dapat berkata-kata (maka betapa engkau menyuruh kami bertanya kepadanya)?” (Al-Anbiyaa’ 21:64-65)

Tibalah masanya yang memang dinantikan oleh Nabi Ibrahim, maka sebagai jawapan atas pertanyaan yang terakhir itu beliau berpidato membentangkan kebathilan persembahan mereka, yang mereka pertahankan mati-matian, semata-mata hanya kerana adat itu ialah warisan nenek-moyang. Berkata Nabi Ibrahim kepada mereka  itu:

“Jika demikian, patutkah kamu menyembah yang lain dari Allah sesuatu yang tidak dapat mendatangkan faedah sedikitpun kepada kamu, dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kamu? Jijik perasaanku terhadap kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah! Maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal fikiran kamu?”(Al-Anbiyaa’ 21:66-67)

Raja Namrud yang murka dengan jawapan Nabi Ismail, mengarahkan dia dibakar hidup-hidup

Setelah selesai, Raja Namrud membuat keputusan bahawa Nabi Ibrahim harus dibakar hidup-hidup sebagai hukuman, maka berserulah para hakim kepada rakyat yang hadir menyaksikan pengadilan itu:

“Bakarlah dia dan belalah tuhan-tuhan kamu, jika betul kamu mahu bertindak membelanya!”(Al-Anbiyaa’ 21:68)

Keputusan telah dijatuhkan. Nabi Ibrahim harus dibakar hidup-hidup dalam api yang besar. Persiapan bagi upacara pembakaran yang akan disaksikan oleh seluruh rakyat diatur. Tanah lapang bagi tempat pembakaran disediakan dan diadakan pengumpulan kayu bakar dengan banyaknya dengan tiap penduduk bergotong-royong mengambil bahagian membawa kayu bakar sebanyak yang dapat sebagai bakti kepada tuhan-tuhan mereka yang telah dihancur Nabi Ibrahim.

Setelah terkumpul kayu bakar tersusun laksana sebuah bukit, berduyun-duyunlah orang datang menyaksikan pelaksanaan hukuman Nabi Ibrahim. Kayu dibakar dan terbentuklah api yang dahsyat. Kemudian dalam keadaan terbelenggu, Nabi Ibrahim diangkat ke atas sebuah bangunan yang tinggi lalu dilemparkan ke dalam kayu yang menyala-nyala itu dengan iringan firman Allah:

 “Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim! “Dan mereka (dengan perbuatan membakarnya itu) hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadikan mereka orang-orang yang amat rugi, (kalah dengan hinanya).”(Al-Anbiyaa’ 21:69-70)

Sejak keputusan hukuman dijatuhkan sampai saat ia dilemparkan ke dalam bukit api yang menyala-nyala itu, Nabi Ibrahim tetap menunjukkan sikap tenang dan tawakkal kerana iman bahwa Allah tidak akan melepaskan hamba nya menjadi makanan api dan korban keganasan orang-orang kafir. Tatkala Nabi Ibrahim berada dalam api yang dahsyat itu, beliau merasa dingin dan hanya tali dan rantai yang mengikat yang terbakar hangus, sedang tubuh dan pakaian yang terlekat pada tubuhnya tetap utuh, tidak sedikit pun tersentuh api.

Orang ramai tercengang dengan keajaiban ini dan mula mempersoalkan kepercayaan kepada Raja Namrud. Malah anak perempuan Raja Namrud sendiri iaitu Puteri Razia mula percaya. Lalu Puteri itu pun mengaku di hadapan khalayak ramai bahawa tuhan nabi Ibrahim a.s. ialah tuhan yang sebenar.

Mengelak dari kemaraan tentera Namrud yang diarah untuk membunuhnya, Puteri itupun meluru ke arah api yang besar itu lalu berkata “Tuhan Nabi Ibrahim selamatkanlah aku“. Puteri Razia pun turut terselamat daripada terbakar. Raja Namrud semakin murka. Sebaik sahaja puteri Razia keluar daripada api, dia diburu. Ini memberi peluang kepada Nabi Ibrahim serta kerluarganya dan anak saudaranya Nabi Luth a.s. untuk melarikan diri.

Baca halaman seterusnya..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may also like