Nabi Ibrahim berhijrah selepas Allah menyelamatkan beliau dari api pembakaran

Pada mulanya Nabi Ibrahim dan isterinya Sarai (Sarah) dan anak saudaranya Luth (yang mohon untuk ikut serta) berhijrah ke bandar Haran diselatan Turki (perjalanan sejauh lebih 1000km). Selepas 14 tahun beliau mendapati situasi di Haran sama sahaja dengan Ur (penduduknya tidak menerima dakwah beliau) lalu dia mengambil keputusan untuk berhijrah pula ke Bethel (perjalanan sejauh lebih 620km) di wilayah Kana’an (Palestina). Ketika itu beliau berumur 75 tahun. Apabila Kana’an mengalami musim kemarau dan wabak kebuluran, Ibrahim dan Sarah mengambil keputusan berhijrah ke Mesir (perjalanan sejauh lebih 450km) yang pada masa itu dibawah pemerintahan regim Fir’aun. Luth tidak ikut serta dalam perjalanan ini.

Kecantikan Sarah (walau pun sudah tua) telah menarik minat Fir’aun yang terus mempelawa beliau duduk bersamanya di istana. Selang beberapa waktu, Fir’aun telah menyerahkan semula Sarah kepada suaminya Abram (Nabi Ibrahim) setelah dia gagal menjadikan Sarah sebagai gundiknya. Selepas 5 tahun berada di Mesir, Abram dan Sarah telah dipaksa oleh Fir’aun untuk keluar meninggalkan Mesir dengan diberi pampasan dalam bentuk seorang hamba perempuan bernama Hajar.

Sekembalinya mereka berdua di Bethel, Allah telah mengesahkan status Ibrahim sebagai Nabi dengan nama barunya Abraham (atau Ibrahim dalam bahasa Arab). Allah juga menjanjikan bumi Kana’an (Palestina) sebagai tempat tinggal yang tetap kepada Nabi Ibrahim dan semua keturunannya, dengan syarat mereka tetap beriman dan berserah diri kepada Allah yang satu, yakni tetap dalam keadaan Islam.

Allah menguji lagi keimanan Nabi Ibrahim supaya menyembelih anaknya Ismail

Menurut riwayat, Nabi Ibrahim AS pernah menyembelih korban sehingga 1,000 ekor bebiri, 300 ekor lembu, dan 100 ekor unta. Walau bagaimanapun, baginya tidak cukup dalam mengorbanannya kepada Allah sehingga beliau bernazar “...seandainya aku mempunyai anak lelaki, pasti akan ku sembelih kerana Allah dan aku korbankan kepada-Nya.

Ucapannya itu dibuat ketika isterinya, Sarah masih belum mengandung. Selepas Ibrahim menikahi Hajar dan dikurnia seorang anak iaitu Ismail, Ibrahim diseru Allah melalui mimpinya untuk memenuhi nazarnya itu. Beberapa malam beliau bermimpi yang sama dan akhirnya beliau yakin bahawa mimpi tersebut bukanlah mimpi daripada syaitan. Ketika itu, usia Ismail lebih kurang 7 tahun (ada yang berpendapat 13 tahun).

Setelah meminta Hajar mempersiapkan Ismail dengan pakaian dan berpenampilan terbaik, Ibrahim dan Ismail berangkat menuju ke suatu lembah kosong (kini di daerah Mina) dengan membawa tali dan sebilah pisau.

Dalam perjalanannya menghampiri tempat korban, Iblis memujuk dan menggoda Ibrahim untuk mengasihani anaknya lalu meninggalkan nazarnya itu. Tiga kali cubaan iblis tetapi tidak berjaya dilayan Ibrahim malah Ibrahim (sesetengah riwayat, Ismail) mengutip batu kerikil di tanah dan melempar batu itu ke arah Iblis setiap kali godaan itu berlaku hingga buta mata kirinya. Maka, Iblis pun pergi dengan hampa. Di sini bermula sejarah melontar jamrah dalam ibadah haji.

Sesampai di Mina, Nabi Ibrahim berterus terang kepada Ismail seperti yang difirman Allah:

Maka ketika anaknya itu sampai bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya-Allah, ayah akan mendapati aku dari orang-orang yang sabar”. Surah As-Saffat ayat 102

Ismail turut berpesan kepada ayahnya untuk mengikatnya dan memalingkan wajahnya agar tidak timbul simpati di hati ayahnya itu. Di samping itu, dia meminta menajamkan pisau agar mudah dan cepat prosesnya. Ismail juga meninggalkan pesan untuk disampaikan kepada Hajar, ibunya. Setelah mendengar pesan itu, Nabi Ibrahim bersedia lalu menjalankan proses penyembelihan tersebut. Dengan kuasa Allah, Allah menggantikan Ismail dengan seekor haiwan gantian yang besar dan haiwan itulah yang sebenarnya menjadi korban.

Terdapat beberapa riwayat yang menyatakan bahawa pisau tersebut tidak dapat melukakan langsung leher Ismail, ada pula yang leher Ismail telahpun dipotong tetapi bertukar kepada haiwan tersebut dan ada pula yang menyatakan belum sempat pisau dilalu, Ismail telah ditukar.

Walau apapun, kisah ini dikisahkan dalam al-Quran As-Saffat ayat 102-109.

  1. “Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami)” (As-Saaffaat 37:103)
  2. “Serta Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim!” (As-Saaffaat 37:104)
  3. “Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.” (As-Saaffaat 37:105)
  4. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata;” (As-Saaffaat 37:106)
  5. Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;” (As-Saaffaat 37:107)
  6. Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian:” (As-Saaffaat 37:108)
  7. “Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!”. (As-Saaffaat 37:109)
  8. Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.” (As-Saaffaat 37:110)
Nabi Ibrahim diperintah Allah membina semula kaabah

Salah satu sumbangan terbesar Nabi Ibrahim dalam agama ialah pembinaan Kaabah. Walaupun terdapat sesetengah penceritaan yang menyatakan bahawa Adam yang menjadi orang pertama membina Kaabah yang kemudiannya dimusnahkan oleh banjir pada zaman Nabi Nuh, Nabi Ibrahim kemudiannya bersama anaknya, Nabi Ismail, membina semula struktur tersebut di tempat asal runtuhan Kaabah itu. Dari situ, ritual haji dimulakan untuk umat manusia.

Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad  menetapkan semula dan membersihkan amalan haji di Kaabah setelah ribuan tahun berlalu sejak zaman Nabi Ibrahim. Nabi Muhammad juga menjadi orang yang memulakan pertukaran kiblat dari Baitulmuqaddis ke Kaabah.

Sepertimana Madinah dirujuk sebagai “Bandar Nabi [Muhammad]” atau hanya “Bandar Muhammad”, Makkah pula digelar sebagai “Bandar Ibraham”, kerana Nabi Ibrahim yang memulakan ibadah suci khusus di kota suci Makkah.

Selepas selesai pembinaan semula Kaabah, Nabi Ibrahim pun berdoa kepada Allah SWT:

Dari Al-Quran, Surah 14 Ayat 37

;رَّبَّنَا إِنِّي أَسْكَنتُ مِن ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِندَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُواْ الصَّلاَةَ فَاجْعَلْ أَفْئِدَةً مِّنَ النَّاسِ تَهْوِي إِلَيْهِمْ وَارْزُقْهُم مِّنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ

[14:37] “Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian zuriat keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman, disisi (berhampiran) rumahMu (Baitullah) yang dihormati. Ya Tuhan kami, semoga mereka mendirikan solat, maka jadikanlah hati sebagian manusia cenderung (gemar) kepada mereka dan berilah rezki kepada mereka dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.”

Baca juga :

Sumber : wikipedia, wikipedia2, harfiyahalquran.com, surah.my. Kisah Nabi Ibrahim. Kisah Nabi Ibrahim. Kisah Nabi Ibrahim. Kisah Nabi Ibrahim. Kisah Nabi Ibrahim. Kisah Nabi Ibrahim. Kisah Nabi Ibrahim. Kisah Nabi Ibrahim. Kisah Nabi Ibrahim.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may also like