Penyakit hati dalam islam : Hati merupakan organ kedua terbesar dalam tubuh manusia. Hati yang sihat boleh dilihat pada warnanya yang perang kemerahan-merahan. Hati manusia juga letaknya di bawah diafragma di sebelah kanan badan manusia. Sebahagian besar permukaan hati terletak di dalam sangkar toraks bagi melindunginya daripada kecederaan.
Maksud penyakit hati dalam islam
Dalam islam, penyakit hati ini bukanlah membawa maksud penyakit fizikal yang mungkin terjadi seperti keradangan, hepatitis dan sebagainya. Dalam islam, hati menjadi tempat dimana terbentuknya perasaan. Ia juga dikatakan tempat dimana syaitan akan bersarang untuk menghasut hati menjadi buruk dan tidak baik.
Hati manusia boleh dinilai dari keperibadian seseorang, kerana jika baik hatinya maka baiklah akhlaknya, jika buruk hatinya maka buruklah akhlaknya.
Allah telah berfirman tentang penyakit hati ini didalam surah at-Taubah ayat 125 yang bermasud :
"Dan adapun orang-orang yang di dalam hati mereka ada penyakit, maka dengan surat itu bertambah kekafiran mereka, disamping kekafirannya (yang telah ada) dan mereka mati dalam keadaan kafir."
Didalam firman diatas Allah menegaskan betapa buruknya kesan penyakit hati kepada manusia sehingga boleh menyebabkan pemiliknya mati dalam kekafiran.
5 jenis penyakit hati dalam al Quran
Jom semak 5 jenis penyakit hati menurut islam supaya kita lebih berhati-hati dan lebih berusaha untuk mengubah hati kita menjadi lebih baik. InshaAllah.
1. Hasad dengki atau iri hati
Penyakit hati hasad dengki dan iri hati ini bermaksud seseorang yang tidak senang melihat kesenangan dan kebahagian orang lain. Perasaan seperti ini datang kerana kurangnya rasa bersyukur dalam diri.
Bahkan ada yang lebih teruk iaitu perasaan dengki sehingga mahu menjatuhkan seseorang semata-mata orang itu mendapat lebih daripadanya.
Sebagai manusia biasa yang lemah, penyakit iri hati ini datang kerana hasutan syaitan itu sendiri. Bahkan penulis sendiri tidak dapat lari daripada penyakit ini. Jadi berusahalah sebaiknya untuk memperbaiki hati kita dengan lebih baik.
Allah telah menyebutkan tentang penyakit iri hati ini didalam surah an-Nisa ayat 32 yang bermaksud :
"Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikaruniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (Karena) bagi orang laki-laki ada bahagian dari pada apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebagian dari karunia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu."
2. Sombong atau takabbur
Sombong membawa maksud sifat buruk dengan membangga diri dengan apa yang Allah kurniakan kepadanya serta memperlekehkan orang yang lebih rendah atau lebih susah daripada dirinya.
Terdapat dua jenis contoh sombong. Satunya sombong yang diam dimana dia tidak mahu melayan orang yang lebih miskin atau selekeh darinya. Yang kedua sombong yang bising. Iaitu orang yang berkata megah dengan menunjuk-nunjuk kemewahan atau kelebihan yang dia miliki.
Allah melarang hambanya bersifat sombong kerana semua yang dimiliki oleh mereka semua hanyalah pinjaman dan milik Allah. Allah berfirman didalam surah al-Isra ayat 37 yang bermaksud :
"Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong, kerana sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembus bumi dan sekali-kali kamu tidak akan sampai setinggi gunung."
3. Riyak
Riyak ialah sifat buruk yang suka menunjuk-nunjuk dab berlagak dengan kemewahan atau amalan yang dia lakukan. Sifat Riya sangat berbahaya dalam diri seorang muslim. Kerana sifat ini mampu mengurangkan pahala amalan.
Agama islam ada menggalakkan supaya umatnya menunjukkan contoh yang baik kepada orang lain. Tetapi perlu sentiasa engatkan hati supaya niatkan setiap perbuatan dan amalan itu kerana Allah Taala.
Allah berfirman tentang larangannya supaya tidak riya didalam melakukan sesuatu amal kebaikan. Didalam surah al-Baqarah ayat 264 yang bermaksud :
"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riya kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian. Maka perumpamaan orang itu seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu menjadilah dia bersih (tidak bertanah). Mereka tidak menguasai sesuatupun dari apa yang mereka usahakan; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir."
4. Bakhil
Bakhil atau maksud lainnya kedekut adalah salah satu penyakit hati yang dibenci oleh Allah. Orang yang bakhil biasanya orang yang sayang hendak mengeluarkan hartanya samaada untuk membantu orang susah atau untuk diberikan kejalan Allah.
Penyakit hati ini Allah sebutkan didalam surah a-Imran ayat 180 yang bermaksud :
"sekali-kali janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari karunia-Nya menyangka, bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di lehernya di hari kiamat. Dan kepunyaan Allah-lah segala warisan (yang ada) di langit dan di bumi. Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan."
5. Ujub
Ujub bermaksud selalu membanggakan diri sendiri. Orang yang memiliki penyakit hati ini sering memperlihatkan kelebihan yang ia miliki tanpa ia sedari bahawa semua itu milik Allah.
Sifat ujub sangat berbahaya sehingga boleh menjatuhkan kepada sifat sombong.
Akhir kata, terdapat 5 penyakit hati dalam islam yang ada disebut didalam al-quran iaitu, hasad dengki, sombong, riyak, bakhil dan ujub. Jadi berusaha sehabis mungkin untuk mengawal hati kita daripada terjerumus dengan sifat tidak baik ini.
Baca juga :
- 5 Cara merawat penyakit hati dalam islam
- Ketahui 10 Kelebihan Dan Kebaikan sedekah subuh
- Redha dengan ujian Allah : motivasi diri
- Cara mendapatkan minda yang sihat dan positif
sumber dan rujukan : dalamislam.com, fimela.com, merdeka.com, wikipedia, gutcare.com,