Pengajaran daripada kisah Nabi Adam a.s dan Hawa..|Nabi Adam A.S. merupakan manusia pertama yang bergelar khalifah Allah yang dimuliakan dan ditinggikan darjatnya menjadi nabi yang pertama. Nabi Adam A.S. pada mulanya ditempatkan di dalam syurga tetapi telah diturunkan ke bumi bersama isterinya, Hawa kerana mengingkari perintah Allah.

Adam dan Hawa by Mawaddah. Lagu yang menenangkan
Penciptaan Nabi Adam A.S

Selepas Allah s.w.t. menciptakan malaikat bumi dan langit; Allah mencipta pula makhluk yang akan menghuni dan mengisi bumi serta memeliharanya iaitu manusia.

Para malaikat ketika dikhabarkan oleh Allah akan kehendak-Nya menciptakan manusia, mereka risau sekiranya ciptaan Allah itu akan menyebabkan kecuaian atau kelalaian mereka dalam ibadah dan menjalankan tugas atau kerana pelanggaran yang dilakukan oleh mereka tanpa disedari. Bertanya mereka kepada Allah s.w.t.:

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?””[al-Baqarah 2:30]

Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama benda-benda, kemudian mengemukakannya kepada para malaikat lalu berfirman: “Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu memang orang-orang yang benar.”

Mereka menjawab:”Mahasuci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain apa yang telah engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”

Allah berfirman:”Hai Adam beritahukanlah kepada mereka nama-nama benda ini.” Maka setelah diberitahukannya kepada mereka nama-nama benda itu Allah berfirman:”Bukankah sudah Aku katakan kepadamu, bahawa sesungguhnya Aku mengetahui rahsia langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan?”

Kemudian, diciptakanlah Adam oleh Allah s.w.t. dari segumpal tanah liat. Setelah disempurnakan bentuknya ditiupkanlah roh ciptaan Allah ke dalamnya dan berdirilah ia tegak menjadi manusia yang sempurna.

Hadis Abu Hurairah r.a katanya:

Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Allah telah menjadikan Nabi Adam setinggi enam puluh hasta. Setelah menciptakannya Allah berfirman: Pergi dan berikan salam kepada kumpulan itu. Mereka adalah sekumpulan Malaikat yang sedang duduk, maka dengarlah jawapan mereka kepadamu kerana salam itu adalah salam penghormatan untukmu dan keturunanmu. Maka Nabi Adam pergi dan mengucapkan: السَّلَامُ عَلَيْكُمْ Mereka menjawab: السَّلَامُ عَلَيْكَ وَرَحْمَةُ اللَّهِ Mereka menambahkan وَرَحْمَةُ اللَّهِ Maka rupa bentuk setiap manusia yang akan memasuki Syurga adalah seperti Nabi Adam. Ketinggiannya enam puluh hasta. Setelah Nabi Adam, rupa bentuk (ketinggian) manusia terus berkurang hingga sekarang

Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 5075
Semua makhluk tunduk sujud kepada Adam atas perintah Allah kecuali iblis dan syaitan
kisah Nabi Adam

Ketika semua makhluk syurga sujud kepada keagungan Allah itu, Iblis membangkang dan enggan mematuhi perintah Allah kerana merasa dirinya lebih mulia dan lebih agung dari Adam. Demikian halnya adalah disebabkan Iblis diciptakan dari unsur api sedangkan Adam hanyalah dari tanah dan lumpur. Kebanggaan dengan asal-usulnya menjadikan ia sombong dan tidak layak untuk bersujud menghormati Adam walaupun telah diperintah oleh Allah.

Disebabkan oleh kesombongan itu, maka Allah menghukum Iblis dengan mengusirnya dari syurga dan mengeluarkannya daripada barisan malaikat disertai kutukan dan laknat pada dirinya hingga hari kiamat. Allah turut menjamin mereka sebagai penghuni neraka.

Iblis dengan sombongnya menerima hukuman Tuhan itu dan mermohon agar kepadanya diberi hidup yang kekal sehingga hari kemusnahan alam.

Allah memperkenankan permohonannya itu. Iblis juga pada ketika itu telah berjanji untuk menyesatkan Adam dan kaumnya sebagai punca terusirnya Iblis dari syurga.

Kemudian, Allah berfirman kepada Iblis yang terkutuk itu sambil melaknatnya bahawa Iblis tidak akan berjaya menyesatkan hamba-Nya yang beriman dengan sepenuh hati.

Hawa diciptakan untuk menemani Adam di syurga

Adam diberi tempat oleh Allah di syurga dan baginya diciptakanlah Hawa untuk mendampinginya dan menjadi teman hidupnya dan melengkapi keperluan fitrahnya untuk mengembangkan keturunannya.

Hawa diciptakan oleh Allah dari salah satu tulang rusuk kiri Adam.

Allah berpesan kepada Adam:”Tinggallah engkau bersama isterimu di syurga, rasakanlah kenikmatan yang berlimpah-limpah didalamnya, rasailah dan makanlah buah-buahan yang lazat yang terdapat di dalamnya sepuas hatimu dan nafsumu. Kamu tidak akan mengalami atau merasa lapar,dahaga ataupun letih selama kamu berada di dalamnya. Akan tetapi janganlah engkau makan buah dari pohon ini yang akan menyebabkan kamu celaka dan termasuk orang-orang yang zalim. Ketahuilah bahawa Iblis itu adalah musuhmu dan musuh isterimu,ia akan berusaha memujuk kamu dan menyeret kamu keluar dari syurga sehingga hilanglah kebahagiaan yang kamu sedang nikmati ini.”

Iblis berusaha menyesatkan Adam dan Hawa

Rasa iri hati dan hasad dengki terhadap Adam menjadi penyebabAllah mengutuk dan melaknat Iblis selama-lamanya serta tersingkir dari singgahsana kebesarannya. Iblis mula menunjukkan rancangan untuk menyesatkan Adam dan Hawa yang sedang hidup berdua di syurga yang tenteram, damai dan bahagia.

Pelbagai cara dan kata-kata halus digunakan oleh Iblis untuk mendapatkan kepercayaan Adam dan Hawa. Dia membisikkan kepada mereka bahawa larangan Allah kepada mereka memakan buahKuldi yang ditunjukkan itu adalah kerana dengan memakan buah kuldi itu mereka akan menjelma menjadi malaikat dan akan hidup kekal. Diulang-ulangi pujukkan itu dengan menunjukkan keharuman bau pohon itu dan keindahan bentuk buahnya serta lazat rasanya.

Akhirnya termakanlah pujuk rayu yang halus itu oleh Adam dan Hawa sekaligus melanggar larangan Tuhan. Allah mencela perbuatan mereka itu dan berfirman yang bermaksud:

“Tidakkah Aku mencegah kamu daripada mendekati pohon itu dan memakan buahnya dan tidakkah Aku telah ingatkan kamu bahawa syaitan itu adalah musuhmu yang nyata.”

Adam dan Hawa mendengar firman Allah itu sedarlah mereka bahawa mereka telah melanggari perintah Allah dan bahawa mereka telah melakukan suatu kesalahan serta dosa besar. Maka mereka menyesal dan berkatalah mereka:

“Wahai Tuhan kami! Kami telah menganiayai diri kami sendiri dan telah melanggari perintah-Mu kerana terikut pujukan Iblis. Ampunilah dosa kami kerana nescaya kami akan tergolong orang-orang yang rugi bila Engkau tidak mengampuni dan mengasihi kami.”

Terpisah Nabi Adam dan Hawa diturunkan kebumi

Adam dan Hawa dengan perasaan sedih turun ke bumi menghadapi cara hidup baru yang jauh berlainan dengan hidup di syurga. Allah memerintahkan Adam dan Hawa turun ke bumi sebagai benih pertama dari hamba-hambanya yang bernama manusia itu. Berfirmanlah Allah kepada mereka:”Turunlah kamu ke bumi sebahagian daripada kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kamu dapat tinggal tetap dan hidup disana sampai waktu yang telah ditentukan.”

Allah telah menentukan dalam takdir-Nya apa yang tidak terlintas dalam hati dan fikiran mereka. Allah s.w.t.yang telah menentukan dalam takdir-nya bahawa bumi yang penuh dengan kekayaan untuk diterokai, akan dikuasai kepada manusia keturunan Adam.

Setelah Allah menerima taubat Adam dan Hawa Allah temukan kembali Adam dan Hawa di bukit Jabal Rahmah Hal ini demikian telah melegakan dada mereka dan menghilangkan rasa sedih akibat kelalaian mereka terhadap peringatan Allah mengenai Iblis.

Pengajaran daripada kisah Nabi Adam A.S

Bahawasanya hikmah yang terkandung dalam perintah, larangan dan penciptaan Allah kadangkala tidak dapat dicapai oleh otak manusia.

Manusia walaupun telah dikurniakan kecergasan berfikir dan kekuatan fizikal dan mental mereka tetap mempunyai beberapa kelemahan pada dirinya. Seperti sifat lalai, lupa dan khilaf. Seperti mana yang telah terjadi pada diri Nabi Adam. Walaupun baginda telah menjadi manusia yang sempurna dan dikurniakan kedudukan dan istimewa di syurga. Ia tetap tidak terhindar dari sifat-sifat manusia yang lemah itu. Baginda telah lupa dan mengingkari perintah Allah tentang pohon larangan dan mengenai Iblis yang menjadi musuhnya dan musuh seluruh keturunannya.

Nabi Adam terperangkap ke dalam tipu daya Iblis dan terjadilah pelanggaran pertama yang dilakukan oleh manusia terhadap larangan Allah.

Seseorang yang telah terlanjur melakukan maksiat dan berbuat dosa tidaklah mereka berputus asa dari rahmat dan ampunan Allah. Mereka perlu sedar akan kesilapan dan bertaubat tidak akan mengulanginya . Rahmat Allah dan maghfirah-Nya dapat mencakupi segala dosa yang dilakukan oleh hamba-Nya kecuali syirik.

Sifat sombong dan bongkak selalu membawa kepada kerugian dan kebinasaan. Lihatlah Iblis yang turun dari singgahsana dan kedudukannya sebagai seorang ketua malaikat. Iblis diusir oleh Allah dari syurga dengan disertai kutukan dan laknat yang akan melekat kepada dirinya sehingga hari Kiamat kerana kesombongannya dan kebanggaaannya dengan asal-usulnya. Sehingga dia menganggap dan memandang rendah Nabi Adam dan menolak untuk sujud menghormatinya walaupun diperintahkan oleh Allah SWT.

Pengajaran daripada kisah Nabi Adam a.s dan Hawa..|

Rujukan : Nabi Adam, kisah Nabi Adam

Baca juga :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may also like